Wednesday, November 17, 2010

raya kat restoran

Pecah rekod sambut Aidiladha kat restoran mamak. Malam raya kerja, bos dah pesan siap kerja terus balik. Sehabis awal boleh balik pun jam 11 malam. Walaupun dah dapat lampu hijau daripada bos yang memang prihatin, tapi dek pikul tanggungjawab pastikan kerja dilaksana dengan betul, elak kesilapan, saya perlu ambil sikap lebih berhati kerana tak mahu ada insan teraniaya termasuk diri sendiri. Dah lama dah setia kerja dan hampir ke penghujungnya, tak mahulah tinggal sejarah hitam....Memang lumrah hidup yang baik tu sukar orang kenang, tapi bila sekali buat silap...kena cemuh macam tak pernah buat baik. Masa buat kerja baik, susah nak cari orang puji apa tah lagi nak bagi ganjaran selayaknya. Tak apalah sebagai insan yang terima amanah, ganjaran tak semestinya dalam bentuk pangkat mahupun wang ringgit. Badan sihat, suami setakat ini belum berhajat cari nombor dua, anak berjaya dalam pelajaran dan harap-harap dapat kerja baik, sudah banyak bersyukur benar.
Bak makan di restoran tu bukan kerana malas nak masak, tetapi takut membazir. Hari Raya Korban kan.. saja nak uji kesabaran anak dan suami. Begitu juga sebagai isteri yang tak pernah abai makan minum keluarga, apalah sekali sekala suami pula belanja makan walaupun sekadar tose, roti canai dan milo panas. Sebelum ini biasa balik kampung kat Kelantan. Sambutan kat sana meriah, Boleh dikatakan sekeliling rumah, orang buat jamuan, sampai tak tahu nak isi kat mana lagi makanan tu. Kali ni raya kat ibu kota, keringlah sebelah pagi, nasib baik ada kedai mamak yang tak menang tangan layan pelanggan. Ramai juga yang membanjiri restoran kat Bandar Baru Sentul, sampai ada yang masam muka kerana pesanan lambat terima...Pelanggan seorang lelaki bersongkok masam muka dan berkali-kali ingatkan tose dipesan belum tiba, sabar bang, ni raya korban. Raya ni bukan setakat korban binatang, tetapi mencakupi semua yang perlu pengorbanan. Adik yang makan roti canai depan saya mesra sungguh Tak tanyapun dia sukarela beritahu makan di restoran kerana terpaksa kerja pada hari raya. Saya nasib baik bos bagi off dua hari.
Walaupun dapat off dua hari, tak sempat nak balik Kelantan. Perjalanan jauh memenatkan. Nampaknya mak, ayah beraya dengan saudara je sebab anak ramai tak balik. Dengar kabar mak masak juga nasi minyak macam selalu. Bersyukur mak masih larat masak untuk ayah selepas sakit lutut yang agak serius baru-baru ini. Ada masa terluang saya dan suami pergi kat pejabat jadi sukarela lapah daging. Tahun ini acara korban di ofis  meriah. Lima ekor lembu tumbang. Penyembelihan dibuat kat Rawang. Jenuh juga tunggu lembu sampai kat ofis sebab dengar cerita kena tunggu giliran. Walaupun lembu sampai sikit-sikit, akhirnya majlis berjaya dilaksanakan dan semuanya selesai sebelum solat Asar. Seronok juga menjamu selera dengan masakan che det, chef yang tak pernah bersara. Salam Aidiladha untuk semua, maaf zahir batin.

Monday, November 15, 2010

kena pandang belakang

Assalamualaikum,
Salam perkenalan, rasanya belum terlambat untuk bersama orang muda meneroka alam siber. Banyak pengalaman lalu dapat dikongsi supaya orang muda ingat sejarah, kesusahan dirintis oleh orang dulu-dulu. Ada orang dulu baru ada yang muda. Yang muda  pun lama-lama jadi tua juga. Semua kena beringat kerana tak ada orang menongkat dunia.
Sesetengah orang tak suka pandang belakang kerana menganggap yang suka pandang belakang tu sering ketinggalan. Silap-silap haribulan tersepak tunggul kat depan. Tanggapan itu silap kerana tak semua yang di depan menjanjikan kebahagiaan jika tak diambil iktibar apa yang berlaku sebelumnya.
Orang dulu pernah susah, tapi mereka tak pernah patah semangat. Makan nasi dengan garam pun masih bersyukur, boleh maju ke depan, masuk pusat pengajian tinggi walaupun tak bawah beg berat macam sekarang dan masuk kelas tuisyen, emak, ayah hantar dengan kereta. Dulu mak, ayah tak cara sebab sibuk kerja nak beri anak makan. Mereka sedar anak kena sekolah tapi mereka tak ngaji tinggi nak bimbing anak supaya pandai. Kalau mak, ayah dulu macam orang le ni didik anak, tentu ramai yang pandai. 
Walaupun begitu, kasih sayang mak, ayah dulu tak adalah terlebih sayang seperti ibu bapa sekarang. Dulu ibu bapa tak kisah anak dipukul guru kerana mereka tahu kalu tak betul ajar anak, tak akan menjadi seperti sekarang. Bila tengok anak hidup mewah di bandar, kerja bagus, pakai kereta besar, hati mak, ayah bangga kerana guru banyak berjasa ubah hidup mereka. Le ni mak, ayah kebanyakannya ngaji tinggi, lepas U. Anak mereka guru tak boleh sentuh langsung. Kalau ada guru yang cuit sikit, mak, ayah tak malu datang sekolah pukul guru. Bila dah jadi macam ni, guru lemah semangat bukan kerana tak minat mengajar tetapi tak sanggup berdepan anak murid naik tocang.
Bila dah ramai anak tak hormat mak, ayah, takkan kita nak salah guru didik anak tak betul. Sebelum cari silap orang lain cermin dulu diri kita. Kalau kita tak hormat guru macam mana ilmu nak berkat? Marilah kita sama renung kepincangan dalam hidup masyarakat sekarang semua kerana tidak pandang belakang.